Imam Ibn Majah

Imam Ibn Majah

Ibn Majah adalah seorang amat dipercayai, yang disepakati tentang kejujurannya, dapat dijadikan hujjah pendapat-pendapatnya. Ia mempunyai pengetahuan luas dan banyak menghafal hadith.

Imam Abu Abdullah Muhammad bin Yazid bin Majah ar-Rabi’i al-Qarwini, pengarang kitab As-Sunan dan berbagai kitab bermanafaat. Kata “Majah” dalam nama beliau adalah dengan huruf “ha” yang dibaca sukun; inilah pendapat yang sahih yang dipakai oleh kebanyakan ulama’, bukan dengan “ta” (majat) sebagaimana pendapat beberapa orang. Kata itu adalah gelaran ayah Muhammad, bukan gelaran datuknya, seperti diterangkan penulis Qamus jilid 9, hal.208. Ibn Katsr dalam Al-Bidayah wan-Nihayah, jilid 11, hal. 52.

Imam Ibn Majah dilahirkan di Qaswin pada tahun 209H, dan wafat pada 22 Ramadhan 273 H. Jenazahnya disolatkan oleh saudaranya, Abu Bakar. Sedangkan pemakamannya dilakukan oleh kedua saudaranya, Abu Bakar dan Abdullah serta anaknya, Abdullah.

Pengembaraannya

Beliau membesar dan meningkat dewasa sebagai orang yang cintakan ilmu pengetahuan, terutamanya mengenai hadith dan periwayatannya. Dalam usahanya mencari dan mengumpulkan hadith, belia telah menziarahi beberapa negeri. Ia melawat Irak, Hijaz, Syam, Mesir, Kufah, Basrah dan beberapa negara serta kota lain untuk menemui dan berguru dengan ulama’-ulama’ hadith. Dia juga belajar dengan murid-murid Imam Malik dan Imam al-Laits, rahimahullah, sehingga dia menjadi salah seorang imam terkemuka pada masanya di dalam bidang ilmu hadith yang mulia ini.

Beliau belajar dan meriwayatkan hadith dari Abu Bakar bin Abi Syaibah, Muhammad bin Abdullah bin Numair, Hisyam bin ‘Ammar, Muhammad bin Ramh, Ahmad bin al-Azhar, Bisyr bin Adan dan ulama’-ulama’ besar lain. Manakala hadith-hadithnya diriwayatkan oleh Muhammad bin ‘Isa al-Abhari, Abu Hasan al-Qattan, Sulaiman bin Yazid al-Qazwini, Ibn Sibawaih, Ishak bin Muhammad dan ulama’-ulama’ lainnya.

Penghargaan Para Ulama’ Kepadanya

Abu Ya’la al-Khalili al-Qazwini berkata: “Ibn Majah adalah seorang yang amat dipercayai, yang disepakati tentang kejujurannya, dapat dijadikan hujjah pendapat-pendapatnya. Ia mempunyai pengetahuan yang luas dan banyak menghafal hadith”.

Az-Zahabi dalam Tazkiratul Huffaz , menggambarkannya sebagai ahli hadith besar, mufasir , pengarang kitab sunan dan tafsir serta ahli hadith ternama di negerinya.

Ibn Katsir, seorang ahli dan pengkritik hadith berkata dalam Bidayahnya: “Muhammad bin Yazid (Ibn Majah) adalah pengarang kitab sunan yang masyhur. Kitabnya merupakan bukti atas amal dan ilmunya, keluasan pengetahuan dan pandangannya, serta kredibiliti dan loyalitasnya kepada hadith dan usul dan furu’.”

Karya-Karyanya

Imam Ibn Majah mempunyai banyak karya, antaranya:

  1. Kitab As-Sunan, yang merupakan salah satu Kutubus Sittah (Enam Kitab Hadith yang Pokok)
  2. Kitab Tafsir Al-Qur’an, sebuah kitab tafsir yang besar manfaatnya seperti diterangkan Ibn kasir.
  3. Kitab Tarikh, berisi sejarah sejak masa Sahabat sampai masa Ibn Majah.

Sepintas Lalu Tentang Kitab Sunan Ibn Majah

Kitab ini adalah salah satu kitab karya Imam Ibn Majah yang terbesar yang masih beredar hingga sekarang. Dengan kitab inilah, nama Ibn Majah menjadi terkenal.

Ia menyusun Sunan ini menjadi beberapa kitab dan beberapa bab. Sunan ini terdiri dari 32 kitab, 1,500 bab, dan jumlah hadithnya sebanyak 4,000 buah hadith.

Kitab Sunan ini disusun menurut kaedah fiqh, yang ditulis secara baik dan indah. Ibn Majah memulai Sunan-nya ini dengan sebuah bab tentang mengikuti sunnah Rasulullah s.a.w. Dalam bab ini belaiu menghuraikan hadith-hadith yang menunjukkan kekuatan sunnah, kewajiban mengikuti dan mengamalkannya.

Kedudukan Sunan Ibn Majah Di Antara Kitab-kitab hadith

Sebahagian ulama’ tidak memasukkan Sunan Ibn Majah ke dalam kelompok “Kitab Hadith Utama” kerana kedudukan Sunan ini lebih rendah dari kitab-kitab hadith yang lima.

Sebahagian ulama’ yang lain menetapkan, bahawa kitab-kitab hadith yang utama ada enam kitab (Al-Kutubus Sittah/Enam Kitab Hadith Utama), yaitu:

  1. Sahih Bukhari, karya Imam al-Bukhari
  2. Sahih Muslim, karya Imam Muslim
  3. Sunan Abi Daud, karya Imam Abu Daud
  4. Sunan Nasa’i, karya Imam Nasa’i
  5. Sunan Tirmizi, karya Imam Tirmizi
  6. Sunan Ibn Majah, karya Imam Ibn Majah

Ulama’ pertama yang berpendapat Sunan Ibn Majah sebagai kitab keenam adalah al-Hafiz Abul-Fardi Muhammad bin Tahir al-Maqdisi (wafat pada 507H), dalam kitabnya Atraful Kutubus Sittah dan dalam risalahnya Syurutul ‘A’immatis Sittah.

Pendapat itu kemudian diikuti oleh al-Hafiz ‘Abdul Gani bin al-Wahid al-Maqdisi (wafat 600 H) dalam kitabnya Al-Ikmal fi Asma’ ar Rijal. Selanjutnya pendapat mereka ini diikuti pula oleh sebahagian besar ulama yang kemudian.

Mereka mendahulukan Sunan Ibn Majah sebagai kitab keenam, tetapi tidak memasukkan kitab Al-Muwatta’ karya Imam Malik sebagai kitab keenam, padahal kitab ini lebih sahih daripada Sunan Ibn Majah. Ini adalah kerana Sunan Ibn Majah banyak zawa’idnya (tambahannya) atas kutubus Khamsah. Berbeza dengan Al-Muwatta’, kebanyakan hadith-hadithnya iaitu hampir seluruhnya telah dimasukkan di dalam Kutubul Khamsah.

Ada ulama’ yang meletakkan Kitab Al-Muwatta’ susunan Imam Malik sebagai salah satu Usul us-sittah (Enam Kitab Utama), bukan Sunan Ibn Majah. Ulama’ pertama yang berpendapat demikian adalah Abul Hasan Ahmad bin Razin al-Abdari as-Sarqisti (wafat sekitar tahun 535H) dalam kitabnya At-Tajrid fil Jam’i bainas-Sihah. Pendapat ini diikuti oleh Abus Sa’adat Majduddin Ibnul Asir al-Jazairi asy-Syafi’i (wafat 606 H). Begitu juga az-Zabidi asy-Syafi’i (wafat 994 H) dalam kitabnya Taysirul Wusul.

Nilai Hadith-hadith Sunan Ibn Majah

Sunan Ibn Majah memuatkan hadith-hadith hahih, hasan, dan dha’if (lemah), bahkan hadith-hadith munkar dan maudhu’ ( sedikit jumlahnya).

Martabat Sunan Ibn Majah ini berada di bawah martabat Kutubul Khamsah (Lima Kitab Utama). Ini adalah kerana kitab sunan ini yang paling banyaknya hadith-hadith dha’if di dalamnya berbanding kelima-lima kitab utama.

Oleh kerana itu kita tidak boleh menjadikan hadith-hadith yang dinilai lemah atau palsu dalam Sunan Ibn Majah ini sebagai dalil, kecuali setelah mengkaji dan meneliti terlebih dahulu mengenai keadaan hadith-hadith tersebut. Bila ternyata sesuatu hadith adalah sahih atau hasan, maka ia boleh dijadikan pegangan. Jika tidak, hadith tersebut tidak boleh dijadikan dalil.

Sulasiyyat Ibn Majah

Ibn Majah telah meriwayatkan beberapa buah hadith dengan sanad yang tinggi (sedikit sanadnya), sehingga antara dia dengan Nabi s.a.w hanya terdapat tiga perawi. Hadith begini dikenal dengan sebutan Sulasiyyat.

Sumber: Kitab Hadith Shahih yang Enam, Muhammad Abu Syuhbah.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s